Tuesday 20 December 2011

TAHU KAH ANDA JUALAN LANGSUNG JUGA MEMPUNYAI GARIS PANDUAN?






GARIS PANDUAN: PERMOHONAN LESEN JUALAN LANGSUNG PENDAHULUAN

Garis panduan ini bertujuan membantu syarikat-syarikat yang berminat untuk memohon lesen perniagaan jualan langsung mengikut keperluan  Akta Jualan Langsung 1993 dan Peraturan-peraturan Jualan Langsung 1993. Dokumen ini tidak boleh digunakan untuk sebarang pertikaian di Mahkamah.
Garis panduan ini juga mengandungi kriteria-kriteria yang boleh dijadikan panduan semasa mengemukakan permohonan lesen perniagaan jualan langsung dan tatacara lain untuk pelbagai permohonan di sepanjang tempoh pelesenan.
Adalah diharapkan Garis Panduan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemegang lesen jualan langsung selaras dengan tiga objektif penting Akta Jualan Langsung 1993 iaitu:
  • Melesenkan aktiviti jualan langsung demi untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna;
  • Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika;dan
  • Melarang segala kegiatan berbentuk piramid serta skim cepat kaya.

PERINGATAN

Sebelum menceburi perniagaan jualan langsung, anda dinasihatkan supaya terlebih dahulu memahami secara jelas AKTA JUALAN LANGSUNG 1993 (AJL 1993).

SEKSYEN 4(1) AJL 93

"Tertakluk kepada seksyen 14 dan 42, tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung melainkan jika ia suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah seksyen 6".

SEKSYEN 2 AJL 93

Bagi maksud garis panduan  ini :
(a)       "Jualan Langsung" ertinya jualan pintu ke pintu dan pesanan pos mengikut pengertian akta ini
(b)        "Jualan Pintu ke pintu" ertinya atau perkhidmatan yang dijalankan dengan cara berikut:
Seseorang atau mana-mana yang diberikuasa olehnya:
i)       pergi dari satu tempat ke satu tempat selain daripada satu tempat perniagaan yang tetap; atau
ii)     membuat panggilan telefon mencari orang yang bersedia untuk membuat kontrak sebagai pembeli bagi penjualan barang atau perkhidmatan.
Orang yang mula-mula disebut itu atau mana-mana orang lain selepas itu atau kemudiannya membuat perundingan dengan bakal pembeli dengan mewujudkan kontrak itu

(c)   "Jualan Pesanan Pos" ertinya jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, samada sendiri atau melalui mana-mana orang yang diberikuasa olehnya, denga menerima tawaran bagi kontrak jualan melalui pos.
JENIS PELAN PEMASARAN DI BAWAH PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG

Terdapat tiga jenis pelan pemasaran di bawah perniagaan jualan langsung seperti berikut:

BERBILANG TINGKAT (MULTI LEVEL MARKETING PLAN)
i.          Syarikat akan mengambil/melantik individu sebagai ahli/pengedar untuk mengedar barangan syarikat;
ii.         Ahli/pengedar yang berkenaan pula akan melantik individu lain (downline) bagi membentuk rangkaiannya menjual barangan syarikat. Proses pengambilan ahli/pengedar baru boleh diteruskan sehingga satu peringkat yang munasabah.
iii.        Setiap ahli/pengedar akan mendapat komisen/ bonus / insentif daripada jualan peribadi dan jualan ahli / pengedar di bawah rangkaiannya (over-riding bonus).
SATU TINGKAT (SINGLE LEVEL MARKETING PLAN)
i.          Syarikat akan melantik wakil jualan/ejen jualan dan membayar gaji/komisen/gabungan gaji dan komisen alas jumlah jualan yang dibuat; dan
ii.         Wakil jualan/ejen jualan berkenaan tidak dibenarkan untuk melantik/menaja wakil jualan/ejen jualan lain.
JUALAN MELALUI PESANAN POS (MAIL ORDER)
Jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, sama ada sendiri atau melalui mana-mana orang yang diberi kuasa melalui pos.
TATACARA PERMOHONAN
Permohonan hendaklah mematuhi syarat-syarat asas berikut:
KELAYAKAN
Pemohon hendaklah terdiri dari syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.








MODAL BERBAYAR           
     
KATEGORI
Bukan 100% Bumiputera
100% Bumiputera
Pemasaran Berbilang Tingkat
RM1,500,000
RM500,000
Pemasaran Satu Tingkat
RM   500,000
RM100,000
Jualan Pesanan Pos
RM   500,000
RM100,000
Syarikat yang mempunyai pemilikan asing
RM5,000,000
-

PELAN PEMASARAN

Pelan pemasaran yang dilaksanakan hendaklah mengikut ciri-ciri berikut :
  • Tidak menjalankan perniagaan yang melibatkan apa-apa skim atau perkiraan berbentuk piramid seperti yang  dinyatakan di bawah seksyen 7 AJL 1993.
  • Mematuhi Peraturan-Peraturan Jualan Langsung (Skim dan Perjalanan) 2001 yang mula berkuatkuasa pada 15 Ogos 2001 iaitu:
a)         Penyampaian skim tidak boleh mengelirukan:
i.          Dalam penyampaian sesuatu skim jualan langsung, seseorang yang menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung tidak boleh mengelirukan peserta dengan memberi penekanan yang berlebihan terhadap bonus tinggi yang tidak seimbang .
ii.          Tiap-tiap peserta hendaklah diberikan suatu kelengkapan jualan (sales kit) yang mengandungi rancangan pemasaran (pelan pemasaran) dan kod etika/tatasusila syarikat.
b)        Pembayaran Insentif

Syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung hendaklah menyediakan suatu insentif berasaskan jumlah atau kuantiti barang atau perkhidmatan yang dijual atau diedarkan oleh tiap-tiap peserta yang diambil masuk ke dalam skim dan bukan daripada pengambilan orang ke dalam skim.

c)        Peserta tidak boleh membeli barang atau perkhidmatan dalam harga/amaun  yang tidak munasabah

Tiap-tiap peserta dikehendaki membeli barang atau perkhidmatan dalam suatu harga/amaun yang dijangka boleh dijual semula atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.
  
 d)        Perjanjian
i.          Syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung hendaklah menyediakan suatu kontrak bertulis atau penyata yang mengandungi terma dan syarat perjanjian itu.
ii.         Perjanjian itu hendaklah memperuntukan perkara berikut:
(a)        Peserta hendaklah diberikan tidak kurang daripada sepuluh hari kerja dari tarikh pengambilan untuk membatalkan keahliannya (Tempoh bertenang/cooling off period) ;
(b)        Apabila terdapat pembatalan keahliannya di bawah perenggan (a), peserta itu hendaklah dibayar semua bayaran yang dikehendaki dalam perjanjian itu;
(c)        Syarikat mesti mempunyai polisi beli balik. Syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung hendaklah membeli balik apa-apa barang yang boleh dipasarkan yang telah dijual kepada peserta itu dalam masa enam bulan yang tidak kurang daripada sembilan puluh peratus amaun yang dibayar; dan
(d)        Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan peraturan ini adalah melanggar syarat-syarat lesen.

No comments:

Post a Comment